Isnin, 14 Mac 2011

Pengertian Sifat Berani

Apakah yang dimaksudkan dengan berani. Berani ialah satu sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia yang dijadikan Nya. Berani merupakan satu kekuatan tersembunyi yang wujud dalam diri setiap manusia untuk menghadapi cabaran dan masalah kehidupan. Kekuatan tersebut mungkin ditonjolkan melalui pemikiran dan tindakan seseorang. Berani juga diibaratkan sebagai pedang sakti manusia untuk menangkis segala rintangan dan halangan yang akan menyekat seseorang untuk terus mara ke arah mencapai cita-cita atau hajatnya. 


Oleh kerana makhluk dan apa jua yang dicipta oleh Allah di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan, maka berani juga mempunyai pasangannya iaitu takut. Anda berada di pihak mana? Pemberani atau pengecut? Cuba anda nilai diri anda. Sebelum menilai diri anda, sama ada berani atau sebaliknya, elok dulu dijelaskan apakah sebenarnya keberanian yang dituntut dalam hidup ini.


Dalam mengejar matlamat hidup, anda memerlukan keberanian. Tanpa mengira apa jua rintangan yang datang, anda harus berani mengejar matlamat itu. "Sifat berani itu adalah modal yang paling besar yang ada dalam diri anda, sekiranya anda ingin maju dan berjaya serta ingin mengembalikan maruah yang telah hilang dalam diri anda" Professor Dr. Hamka. Beliau juga menyatakan bahawa di antara sifat yang perlu ada dalam diri setiap Muslim ialah semangat berani. Jika seseorang Muslim ingin mengembalikan maruah bangsanya, ia harus berani. Kerana sifat berani itu dianggap sangat mulia dalam Islam dan sifat penakut adalah yang paling hina.


Ramai yang bertanya nanti, apakah aku ini seorang yang berani? Atau adakah aku mempunyai sifat berani dalam diri ini? Jawabnya "YA". Setiap manusia diberi 2 sifat yang berlawanan iaitu sama ada berani ataupun takut. Dalam diri manusia tidak berlaku kekosongan antara dua sifat tadi. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain seperti pemurah dan bakhil. Jika ia tidak pemurah, ia bakhil atau jika ia pemurah ia tidak bakhil. begitulah dengan berani, jika ia tidak mempunyai sifat berani, ia mempunyai sifat penakut atau pengecut. Atau ada juga yang mungkin mempunyai sedikit sifat berani dan sedikit sifat takut. Orang yang begini selalunya dikatakan berdiri di atas pagar. Ia adalah manusia yang tidak berani membuat keputusan. Ia tidak bertindak untuk mendapat sesuatu yang besar.


Bagaimanapun, tidak juga boleh dikatakan bahawa jika seseorang itu berani, maka tidak ada langsung sifat takut dalam dirinya. Kerana dalam keadaan tertentu atau kadang-kadang, kita dicabar juga oleh sifat takut itu. Bagaimanapun jika anda berani setiap kali perasaan takut datang dalam hidup anda, maka anda dengan mudah akan menghantar "TENTERA BERANI" yang ada dalam diri anda untuk memerangi tentera takut itu.


Tentera berani yang dimaksudkan di sini bukanlah anda sekadar berani bertumbuk atau berani yang berbentuk fizikal semata-mata. Itu adalah berani si bodoh. Kerana kekuatan manusia tidak bergantung kepada tubuh badan. Kekuatan manusia sebenarnya bergantung kepada kekuatan pemikiran dan jiwa. Oleh itu keberanian yang dituntut di sini ialah keberanian pemikiran dan keberanian moral. Inilah jenis keberanian yang diamalkan oleh setiap manusia yang berjaya di dunia ini.


Jika orang lain mampu berjaya dengan keberanian tersebut, tiada sebab yang boleh menghalang anda untuk melakukan amalan yang sama. Renungilah kata-kata Henry Van Dyke ini:
 "KEBERANIAN IALAH BALA TENTERA JIWA YANG MENGAWALNYA DARIPADA DITAKLUKI, DIHINA DAN DIPERHAMBAKAN"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan