Isnin, 14 Februari 2011

Sirah dan Tamadun Islam

Pendidikan Islam                                                                          Sirah dan Tamadun Islam
Tingkatan 1

Tajuk: 24 – Masyarakat Arab Sebelum dan Selepas Islam

1.         Masyarakat Arab sebelum kedatangan Rasulullah SAW dikenali sebagai     masyarakat Arab Jahiliah.

2.         Jahiliah menurut istilah bermaksud tidak tahu dan sesat daripada agama samawi.

3.         Agama-agama masyarakat jahiliah ialah:

(a)    agama menyembah berhala;
(b)   agama Kristian;
(c)    agama Yahudi;
(d)   agama Majusi.

4.         Masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua golongan iaitu masyarakat Badwi dan    masyarakat Hadari.

(a)    masyarakat Badwi:

·         tinggal di luar bandar;
·         sering berpindah randah dan tertumpu di kawasan berair untuk minuman dan ternakan;
·         menternak binatang dan bercucuk tanam;
·         politik mereka berasaskan kabilah yang dipimpin oleh seorang syeikh.

(b)   masyarakat Hadari:

·         tinggal di Bandar;
·         mempunyai pergaulan yang luas serta sering dikunjungi oleh peniaga-peniaga dari luar;
·         berniaga pakaian, ternakan dan hamba abdi;
·         politik mereka berasaskan kepada satu kuasa pentadbiran pusat yang terdiri daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Haji dan Jabatan Kaabah. Mereka patuh kepada pentadbiran pusat ini.

5.         Akhlak keji masyarakat jahiliah:

(a)    wanita dijadikan hamba yang boleh dijual beli dan diwarisi;
(b)   minum arak, berjudi dan berzina menjadi amalan harian;
(c)    suka merompak, membunuh serta berperang;
(d)   membunuh anak perempuan yang baru lahir.

6.         Kedatangan Islam telah membawa pelbagai perubahan kepada masyarakat Arab     jahiliah.

7.         Antara perubahan-perubahan yang dibawa oleh Islam ialah:

(a)    amalan khurafat dan karut kepada menyembah Allah SWT yang Maha Esa;
(b)   akhlak yang buruk dan keji kepada akhlak yang mulia dan terpuji;
(c)    peperangan dan permusuhan antara kabilah kepada kehidupan yang aman dan harmoni;
(d)   penindasan kepada keadilan sejagat.


Tajuk: 25 – Riwayat Hidup Rasulullah SAW

1.         Nabi Muhammad SAW lahir di Mekah pada pagi Isnin 12 Rabiulawal Tahun         Gajah bersamaan dengan 20 April tahun 571 Masihi.

2.         Nabi Muhammad berasal dari keturunan bangsawan Quraisy, iaitu golongan yang terkenal dan berpengaruh di kalangan masyarakat Arab.

3.         Bapanya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib. Ibunya bernama Aminah binti       Wahab.

4.         Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim kerana kematian ayah semasa masih         dalam kandungan ibunya.

5.         Beberapa hari setelah dilahirkan, baginda disusui oleh Suwaibah Al-Aslamiah        sebelum diserah kepada Halimatus Sa’adiah daripada kabilah Bani Sa’ad.

6.         Ketika berusia empat tahun, nabi membantu keluarga angkatnya menggembala       kambing. Pekerjaan itu telah melatih nabi bersabar dan tabah menghadapi ujian        hidup.

7.         Ketika berusia enam tahun, baginda bersama ibunya pergi menziarahi kubur            ayahnya di Madinah.

8.         Dalam perjalanan ibu baginda telah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Jenazah          ibunya dimakamkan di Abwak.

9.         Baginda dibawa pulang ke Mekah oleh hambanya Ummu Aiman dan telah             dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib.

10.       Abdul Mutalib merupakan seorang pembesar Mekah yang terkenal dan dihormati.

11.       Baginda hanya sempat tinggal bersama datuknya selama dua tahun sebelum           datuknya meninggal dunia.
12.       Datuknya meninggal dunia ketika baginda berusia lapan tahun.

13.       Selepas kematian datuknya, nabi dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Talib.

14.       Baginda telah bekerja mengembala kambing untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh bapa saudaranya.

15.       Ketika berusia 12 tahun, baginda mengikuti rombongan perniagaan bapa     saudaranya ke Syam. Ketika berada di sana, bapa saudaranya telah bertemu          dengan seorang pendita Nasrani bernama Buhaira dan beliau mendapati ada             tanda-tanda kerasulan pada baginda seperti yang terdapat dalam kitab Taurat dan Zabur.

16.       Semasa remaja, baginda telah berkongsi berniaga dengan Saib bin Abi Saib,           pemuda Quraisy.

17.       Ketika berusaha 25 tahun baginda telah menjalankan perniagaan kepunyaan           Khadijah binti Khuwailid ke Syam dengan ditemani oleh seorang pembantu lelaki       yang bernama Maisarah.

18.       Kemuliaan peribadi dan kebijaksanaan baginda telah memaut hati Khadijah.           Beliau telah meminta hambanya Maisarah untuk melamar Rasulullah SAW.

19.       Rasulullah SAW telah bersetuju untuk berkahwin dengan Khadijah. Baginda         ketika itu berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun.

20.       Hasil perkahwinan itu, baginda telah dikurniakan enam orang anak iaitu dua lelaki             dan empat perempuan.

21.       Baginda dilantik menjadi rasul ketika berusia 40 tahun yang menjadi penyelamat   dan rahmat ke seluruh alam.

22.       Wahyu pertama diterima ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hirak.

23.       Selepas peristiwa itu baginda terus pulang menemui Khadijah dalam keadaan         ketakutan dan menceritakan peristiwa yang telah dialaminya.

24.       Khadijah membawa baginda menemui sepupunya iaitu Waraqah bin Naufal,           seorang pendita yang mengetahui tentang Taurat dan Injil.

25.       Waraqah memberitahu tentang kerasulan nabi Muhammad SAW dan berjanji         akan membantunya jika umurnya panjang. Tidak lama selepas itu Waraqah pun         meninggal dunia.
           


Tajuk: 26 – Kejayaan Rasulullah SAW Meletakkan Asas Akidah Yang Kukuh

1.         Matlamat utama Rasulullah SAW berdakwah di Mekah ialah membaiki akidah       musyrikin Quraisy yang mempunyai pelbagai kepercayaan kepada mentauhidkan      Allah SWT.

2.         Dalam menyebarkan dakwah Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat menerima   pelbagai ancaman daripada Musyrikin Mekah.

3.         Antara ancaman dan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah SAW:

(a)    baginda diludah dan dicerca;
(b)   rumah baginda dibaling dengan tahi unta;
(c)    Abu Jahal cuba menghempaskan batu besar kepada Rasulullah SAW ketika baginda sedang bersolat;
(d)   baginda ditawarkan pangkat, harta dan wanita cantik.

4.         Antara ancaman dan penyeksaan kepada sahabat Rasulullah SAW:

(a)    Bilal bin Rabah serta keluarga Yasir diseksa dengan kejam;
(b)   pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib;
(c)    ugutan bunuh kepada penganut Islam.

5.         Rasulullah SAW tetap meneruskan dakwah Islam dengan menanam asas akidah     yang mantap kepada penganut Islam.

6.         Hasilnya, ajaran Islam dikenali oleh Musyrikin Quraisy dan menarik mereka           untuk menganut ajaran Islam.

7.         Faktor kejayaan dakwah Rasulullah SAW:

(a)    pertolongan daripada Allah SWT;
(b)   keperibadian Rasulullah SAW;
(c)    keadilan dan persamaan hak dalam ajaran Islam;
(d)   dakwah yang penuh berhikmah dan bijaksana.


Tajuk: 27 – Strategi Perjuangan Rasulullah SAW Di Mekah

1.         Strategi dakwah Rasulullah SAW di Mekah terbahagi kepada dua iaitu dakwah     secara rahsia dan dakwah secara terus terang.

2.         Dakwah secara rahsia berlangsung selama tiga tahun dan dijalankan kepada kaum keluarga terdekat dan rakan taulan.

3.         Antara orang yang mula-mula memeluk Islam ialah Khadijah binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib, Abu Bakar As-Siddiq, Usman bin Affan dan Al-Arqam bin Abi Al-      Arqam.

4.         Antara hikmat dakwah secara rahsia ialah:

(a)    ajaran Islam diterima tanpa sebarang gangguan;
(b)   mengelakkan penentangan Musyrikin Quraisy;
(c)    kedudukan Islam dan umat Islam bertambah kukuh;
(d)   mengelakkan kejutan kepada masyarakat Arab.

5.         Rasulullah SAW menjalankan dakwah secara terus terang setelah turun ayat 214    surah As-Syu’ara’ dan ayat 94 surah Al-Hijr.

6.         Baginda telah mengadakan perhimpunan di Bukit Safa. Baginda telah dicaci oleh Abu Lahab dengan kata-kata penghinaan.

7.         Rasulullah SAW dan para sahabat tetap tabah menghadapi segala tentangan           tersebut.

8.         Antara hikmat dakwah secara terus terang ialah:

(a)    penganut Islam berani menegakkan kebenaran;
(b)   pegangan akidah umat Islam bertambah mantap;
(c)    ajaran Islam tersebar dengan meluas.

9.         Teknik dakwah Rasulullah SAW:

(a)    berdakwah dengan penuh hikmah atau bijaksana;
(b)   berdakwah dengan memberi nasihat dan pengajaran yang baik;
(c)    berdakwah dengan berbahas dengan cara yang baik.

10.       Dakwah Rasulullah SAW mendapat tentangan yang hebat daripada kaumnya        setelah baginda berdakwah secara terus terang.

11.       Antara faktor-faktor penentangan ialah:

(a)    Islam menghapuskan agama nenek moyang mereka seperti penyembahan berhala;
(b)   Islam menghapuskan sikap berpuak-puak dengan menekankan persamaan hak antara sesama manusia;
(c)    perniagaan berhala yang dijalankan akan terancam.




Tajuk: 28 – Hijrah Rasulullah SAW Ke Madinah

1.         Hijrah pada bahasa bermaksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan            kepada keadaan yang lebih baik.

2.         Hijrah pada istilah pula ialah perpindahan Rasulullah SAW dan orang-orang           Islam dari Mekah ke Madinah untuk meningkatkan syiar Islam.

3.         Peristiwa hijrah berlaku pada 12 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan.

4.         Antara sebab-sebab berlaku hijrah ialah:

(a)    perintah Allah SWT supaya Rasulullah SAW berhijrah;
(b)   ancaman terhadap orang Islam semakin memuncak;
(c)    penduduk Madinah memberi jaminan keselamatan kepada Rasulullah dan orang-orang Islam.

5.         Sebelum hijrah, beberapa penduduk Madinah telah dating bertemu dengan             Rasulullah SAW secara sulit. Pertemuan itu telah membawa termeterai Perjanjian     Aqabah Pertama.

6.         Perjanjian Aqabah Pertama dibuat pada tahun 621 Masihi bersamaan tahun            kesebelas kerasulan Nabi.

7.         Antara isi kandungan Perjanjian Aqabah Pertama ialah:

(a)    tidak mensyirikkan Allah SWT;
(b)   tidak membunuh anak;
(c)    tidak membuat fitnah;
(d)   tidak mencuri;
(e)    tidak berzina.

8.         Pada tahun berikutnya iaitu tahun 622 Masihi bersamaan tahun ke 13 kerasulan,     termeterai Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat di antara Rasulullah SAW         dengan 37 orang lelaki dan 2 orang perempuan Madinah.

9.         Antara isi kandungan Perjanjian Aqabah Kedua ialah:

(a)    menerima Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka;
(b)   berjanji mempertahankan Rasulullah SAW;
(c)    berjanji untuk berjuang mempertahankan Islam.

10.       Peristiwa selepas hijrah:

(a)    Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Ansar dengan Muhajirin;
(b)   membina masjid sebagai tempai ibadat dan lambang perpaduan umat Islam.
(c)    membuat beberapa perjanjian dengan golongan Yahudi di Madinah.

11.       Iktibar daripada peristiwa hijrah:

(a)    setiap umat Islam hendaklah berkorban untuk memartabatkan Islam;
(b)   dakwah memerlukan strategi yang baik dan berkesan;
(c)    perpaduan yang kukuh dan mantap hanya dapat dicapai melalui kesatuan akidah.


Tajuk: 29 – Keunggulan Perjuangan Tokoh-Tokoh Islam

29.1 – Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.

1.         Riwayat hidup:

(a)    nama beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah bin Umar bin Ka’ab;
(b)   lahir di Mekah pada tahun 572 Masihi, dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW.
(c)    beliau berketurunan bangsawan Quraisy;
(d)   keturunan beliau mempunyai pertalian dengan datuk Rasulullah SAW yang keenam iaitu Murrah bin Ka’ab;
(e)    seorang ahli perniagaan yang berjaya dan banyak menyumbangkan harta untuk Islam;
(f)    lelaki pertama memeluk Islam dan digelar As-Siddiq kerana membenarkan apa sahaja yang dikatakan oleh Rasulullah SAW.

2.         Sifat peribadi:

(a)    bersopan santun;
(b)   bercakap benar;
(c)    lemah lembut;
(d)   setiakawan.

3.         Sumbangan dan pengorbanan Saidina Abu Bakar:

(a)    bersama Rasulullah SAW dalam semua peperangan;
(b)   menjadi teman Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Madinah;
(c)    mendermakan seluruh harta kekayaan untuk membiayai Perang Tabuk.

4.         Jasa Saidina Abu Bakar:

(a)    memerangi golongan murtad dan nabi palsu;
(b)   memerangi golongan yang enggan membayar zakat;
(c)    mengembangkan dakwah Islam ke Rom dan Parsi.

29.2 – Khadijah binti Khuwailid

1.         Riwayat hidup:

(a)    nama beliau ialah Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai;
(b)   berasal daripada keturunan bangsawan Quraisy dan seorang peniaga yang kaya;
(c)    beliau adalah wanita yang pertama memeluk Islam;
(d)   berkahwin dengan Rasulullah SAW ketika berumur 40 tahun dan merupakan isteri pertama baginda;
(e)    meninggal dunia pada tahun ke 10 kerasulan bersamaan 620 Masihi.

2.         Sifat peribadi:

(a)    sentiasa taat pada perintah Allah SWT;
(b)   beliau seorang wanita mulia, cantik dan cerdik;
(c)    seorang yang pintar dalam perniagaan;
(d)   seorang yang lemah lembut dan amat sayang kepada Rasulullah SAW.

3.         Sumbangan Saidatina Khadijah:

(a)    sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada Rasulullah SAW;
(b)   mengorbankan harta dan kekayaannya demi kemajuan Islam;
(c)    menjadi isteri yang solehah, jujur dan setia terhadap suami;
(d)   menjadi penawar kepada Rasulullah SAW ketika Rasulullah SAW dalam kesusahan.


29.3 – Sumaiyah Ummu Amar bin Yasir

1.         Riwayat hidup:

(a)    nama beliau ialah Sumaiyah binti Khabbat, seorang hamba kepada Huzaifah bin Mughirah;
(b)   beliau adalah ibu kepada Ammar dan isteri kepada Yasir;
(c)    Sumaiyah dan keluarganya memeluk Islam pada awal perkembangan Islam;
(d)   Tuan Sumaiyah sangat memusuhi Islam. Setelah mengetahui keislaman beliau, tuannya memaksa beliau agar kembali pada agama nenek moyang mereka;
(e)    tuannya telah menyiksa beliau dengan kejam. Beliau dipakaikan dengan baju rantai daripada besi dan dijemur di tengah panas. Namun beliau tetap mempertahankan akidah Islam yang diimaninya;
(f)    Sumaiyah adalah wanita Islam pertama mati syahid kerana ditikam oleh Abu Jahal demi mempertahankan akidah Islam.

2.         Sifat peribadi:

(a)    beliau memiliki keimanan yang kuat dan mantap terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW;
(b)   seorang yang tabah dan sabar dalam menghadapi segala seksaan yang dilakukan terhadap diri, suami dan anaknya;
(c)    sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan akidah Islam.

3.         Jasa dan pengorbanan Sumaiyah:

(a)    berani menyatakan kebenaran;
(b)   sanggup mengorbankan nyawa dalam mempertahankan akidah;
(c)    menyalakan obor semangat kepada umat Islam dalam mempertahankan akidah Islam yang suci.


29.4 – Bilal bin Rabah

1.         Riwayat hidup:

(a)    Bilal bin Rabah dilahirkan pada tahun 43 sebelum Hijrah;
(b)   beliau berasal dari keturunan Habsyi dan hamba kepada Umaiyah bin Khalaf;
(c)    golongan hamba yang pertama memeluk Islam;
(d)   Bilal telah diseksa oleh tuannya kerana memeluk Islam. Beliau diseksa dengan tangan dan kakinya diikat, diletakkan di padang pasir yang panas terik dan diletakkan batu besar di atas perutnya. Namun penyeksaan tuannya tidak sedikit pun mengugat keimanannya kepada Allah SWT;
(e)    muazzin pertama dalam Islam dan hingga kini nama ‘Bilal’ menjadi panggilan bagi orang yang melaungkan azan;
(f)    meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah dan dikebumikan di situ.

2.         Sifat peribadi:

(a)    beliau juga mempunyai keimanan yang mantap serta yakin dengan kekuasaan Allah SWT;
(b)   Bilal seorang yang berani mempertahankan akidahnya walaupun diseksa;
(c)    beliau seorang yang sabar dan tabah walaupun telah diseksa oleh tuannya.

3.         Sumbangan Bilal bin Rabah:

(a)    muazzin pertama dalam Islam;
(b)   menjadi contoh terunggul dalam mempertahankan akidah Islam;
(c)    menjadi pendakwah dalam mengembangkan Islam di kalangan hamba.

10 ulasan:

  1. assalamualaikum,, terima kasih kerna mmberi sdkit info ini.. :)

    BalasPadam
  2. Salam. Yang inipun saya minta untuk copy paste dan print-kan untuk buat rujukan. Terima kasih C=

    BalasPadam
  3. Terima kasih kerana berkongsi, semoga ilmu ini dimanfaatkan dan boleh dijadikan pahala yang berterusan kerana berkongsi ilmu :)

    BalasPadam
  4. assalamualaikum...
    nak minta izin print info ni..

    BalasPadam
  5. Info bermaklumat bagi menyiapkan kerja skolah !terima kasih

    BalasPadam
  6. USTAZ....TERIMAKASIH ATAS PERKONGSIAN SEMUA MAKLUMAT PAI BAGI SETIAPTINGKATAN. MG IA MENJADI BEKAL USTAZ KE AKHIRAT NANTI. TQ USTAZ

    BalasPadam
  7. ustaz saya nak tumpang baca dan nak print buat rujukan....

    BalasPadam
  8. Boleh x bgithu tarikh lahir sebenar sumayyah..

    BalasPadam
  9. Terima kasih.Ini sangat bermanfaat

    BalasPadam