Isnin, 14 Februari 2011

Ibadat

Pendidikan Islam
Tingkatan 1                                                                                                                 Ibadah

Tajuk 19 – Fardu Ain Dan Fardu Kifayah

19.1 – Konsep Fardu Ain dan Fardu Kifayah

1.         Fardu Ain ialah perkara yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Berdosa     jika tidak melaksanakannya.

2.         Fardu Kifayah ialah perkara yang wajib dilaksanakan oleh sebahagian orang           Islam untuk kepentingan umat Islam seluruhnya. Sekiranya tidak ada seorang pun      daripada anggota masyarakat yang melaksanakan fardu kifayah, maka semua   masyarakat tersebut akan berdosa.

3.         Antara contoh perkara fardu ain ialah:

(a)    menunaikan solat fardu;
(b)   berpuasa pada bulan Ramadan;
(c)    berbakti kepada ibu bapa.

4.         Antara contoh fardu kifayah ialah:

(a)    solat berjemaah;
(b)   menguruskan jenazah;
(c)    menguasai ilmu teknologi maklumat, kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

19.2 – Kepentingan Fardu Ain dan Fardu Kifayah

1.         Kepentingan fardu ain kepada individu:

(a)    melahirkan individu yang taat kepada pemerintah dan larangan Allah SWT;
(b)   melahirkan individu yang berilmu dan beramal dengan ilmunya;
(c)    melahirkan individu yang bermaruah dan dipandang mulia oleh orang lain.

2.         Kepentingan fardu ain kepada masyarakat:

(a)    melahirkan masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam;
(b)   segala perintah Allah SWT dapat dilaksanakan dengan mudah;
(c)    melahirkan masyarakat yang aman, harmoni dan diberkati Allah SWT.





3.         Kepentingan fardu ain kepada negara:

(a)    melahirkan warganegara yang berbudi pekerti mulia;
(b)   melahirkan umat Islam yang hidup bersatu dan berkerjasama antara satu dengan yang lain;
(c)    pembangunan negara berjalan dengan baik serta mengikut syariat Islam.

4.         Akibat mengabaikan fardu ain:

(a)    jiwa tidak tenteram dan mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu;
(b)   mendorong seseorang melakukan perkara-perkara yang mungkar;
(c)    jauh daripada keberkatan dan keredaan Allah SWT.

5.         Kepentingan fardu kifayah kepada individu:

(a)    tekun dan sabar dalam menimba ilmu;
(b)   melahirkan individu yang berilmu dan beramal dengan ilmunya;
(c)    mahir dan pakar dalam sesuatu bidang ilmu dan kemahiran.

6.         Kepentingan fardu kifayah kepada masyarakat:

(a)    dapat memenuhi keperluan hidup masyarakat Islam;
(b)   masalah sosial umat Islam dapat diselesaikan dengan mudah berdasarkan hukum Islam;
(c)    umat Islam akan bertambah maju dalam pelbagai bidang.

7.         Kepentingan fardu kifayah kepada negara:

(a)    negara bertambah maju dalam semua bidang kehidupan;
(b)   negara dalam keadaan aman dan makmur;
(c)    negara dihormati dan menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.

8.         Akibat mengabaikan fardu kifayah:

(a)    umat Islam akan ketinggalan dalam semua bidang;
(b)   hidup dalam keadaan tersisih dan terpinggir daripada kehidupan masyarakat;
(c)    hidup dalam kemiskinan dan kemunduran kerana tidak memiliki ilmu dan kemahiran.

Tajuk 20 – Bersuci Asas Kebersihan

20.1 – Konsep Bersuci

1.         Bersuci pada bahasa ialah membersihkan sesuatu dari kekotoran. Bersuci pada      
            istilah pula ialah membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada hadas dan najis.

2.         Hukum bersuci daripada hadas, najis dan kekotoran adalah wajib dan menjadi       syarat sesuatu ibadat.

3.         Akibat mengabaikan kebersihan:

(a)    mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit;
(b)   disisihkan oleh kawan-kawan;
(c)    menjatuhkan imej umat Islam.

4.         Perbezaan amalan antara orang yang pembersih dengan orang yang pengotor:

(a)    amalan orang yang pembersih:

·         menjaga kebersihan makanan, pakaian dan persekitaran;
·         mengambil makanan dan minuman yang halal;
·         mengamalkan akhlak yang mulia.

(b)   amalan orang yang pengotor:

·         mengabaikan kebersihan diri, pakaian, makanan dan persekitaran;
·         makan dan minum daripada sumber yang haram dan syubhah;
·         mengamalkan sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan.

5.         Hikmat bersuci:

(a)    menjamin kecergasan rohani dan jasmani;
(b)   kehidupan dalam keadaan bersih dan selesa;
(c)    kehidupan akan bebas daripada jangkitan penyakit.

6.         Bahan-bahan untuk bersuci:

(a)    air mutlak seperti air paip, air sungai, air laut, air perigi dan air salji;
(b)   debu tanah yang suci untuk bertayamum;
(c)    benda-benda keras dan kesat seperti kertas, kayu dan batu untuk beristinjak;
(d)   bahan yang dapat menghilangkan darah dan lendiran pada kulit binatang seperti tawas, bahan kimia dan buah manjakani untuk menyamak.

20.2 – Bersuci Daripada Najis

1.         Najis pada bahasa ialah benda-benda kotor dan jijik, manakala najis pada istilah     pula ialah kotoran yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadat seperti solat, tawaf    dan sebagainya.

2.         Najis terbahagi kepada tiga jenis iaitu:


(a)    najis mughallazah (najis berat) iaitu anjing dan babi serta keturunan daripada kedua-duanya;
(b)   najis mutawassitah (najis pertengahan) iaitu semua kekotoran daripada binatang dan manusia seperti air kencing, nanah, darah, bangkai dan sebagainya;
(c)    najis mukhaffafah (najis ringan) iaitu air kencing kanak-kanak lekaki yang umurnya di bawah dua tahun yang hanya minum susu ibunya saja.

3.         Cara-cara menyucikan najis mughallazah:

(a)    buang najis yang ada terlebih dahulu;
(b)   kemudian basuh dengan air mutlak sebanyak tujuk kali. Satu basuhan daripadanya dengan air yang bercampur tanah (selut);
(c)    basuh sehingga hilang bau, rasa dan warnanya.

4.         Cara-cara menyucikan najis mutawassitah:

(a)    buangkan najis yang ada terlebih dahulu;
(b)   basuh dengan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warna.

5.         Cara-cara menyucikan najis mukhaffafah:

(a)    lap tempat yang terke kencing;
(b)   renjis dengan air mutlak;
(c)    kemudian lap sehingga kering.

20.3 – Istinjak

1.         Istinjak ialah perbuatan membersihkan qubul (kemaluan) dan dubur selepas            membuang air kecil atau besar dengan menggunakan alat-alat yang tertentu.

2.         Hukum beristinjak adalah wajib.

3.         Alat-alat yang boleh digunakan untuk beristinjak:

(a)    air mutlak seperti air hujan, air laut, air sungai, air perigi, air salji, air embun dan air mata air;
(b)   benda-benda keras dan kesat seperti batu, kertas, tisu, daun kering dan kayu.

4.         Alat-alat yang haram digunakan untuk beristinjak:

(a)    kertas yang tertulis ayat al Quran atau hadis, nama-nama Allah dan rasul;
(b)   bahan makanan seperti roti, biskut, buah-buahan dan sebagainya;
(c)    benda-benda licin seperti plastik.


5.         Syarat-syarat beristinjak dengan benda-benda kesat:

(a)    alat yang digunakan mestilah bersih dan kering;
(b)   najis yang terdapat pada qubul atau dubur belum kering;
(c)    najis yang keluar tidak meleleh ke tempat lain seperti paha.

6.         Cara beristinjak dengan menggunakan batu dan air:

(a)    sapu tempat keluar najis dengan tiga biji batu atau sebiji batu yang mempunyai tiga bucu;
(b)   kemudia basuh dengan air mutlak sehingga bersih.

7.         Cara beristinjak dengan menggunakan benda-benda kesat ialah dengan       membersihkan tempat keluar najis dengan benda kesat seperti kertas atau kayu sehingga bersih.

8.         Hikmat beristinjak:

(a)    dapat melakukan ibadat dengan khusyuk;
(b)   terhindar daripada berlakunya jangkitan penyakit;
(c)    dikasihi dan diredai oleh Allah SWT.

20.4 – Wuduk

1.         Wuduk ialah perbuatan membasuh atau menyapu anggota badan yang tertentu       dengan menggunakan air mutlak yang dimulai dengan niat kerana Allah SWT.

2.         Hukum berwuduk adalah wajib bagi orang yang ingin melakukan solat, tawaf,       menyentuh al Quran, sujud tilawah dan sebagainya. Tanpa Wuduk ibadat tersebut            tidak sah.

3.         Rukun-rukun wuduk:

(a)    niat;
(b)   membasuh muka, iaitu bermula dari tempat tumbuh rambut di dahi hingga ke dagu dan dari anak telinga kanan hingga ke anak telinga kiri;
(c)    membasuh kedua-dua tangan iaitu bermula dari hujung jari hingga ke siku;
(d)   menyapu sebahagian kepala;
(e)    membasuh kedua-dua kaki hingga ke buku lali;
(f)    tertib, iaitu melakukan semua rukun mengikut susunannya.

4.         Antara perkara sunat ketika berwuduk:

(a)    memulakan berwuduk dengan membaca “Bismillahirahmanirahim”;
(b)   mendahulukan anggota kanan daripada yang kiri;
(c)    mengulangi sebanyak tiga kali pada setiap perbuatan;
(d)   berkumur-kumur.

5.         Antara perkara-perkara makruh ketika berwuduk:

(a)    berbual-bual ketika berwuduk;
(b)   menggunakan air secara berlebihan;
(c)    mendahulukan anggota yang kiri daripada yang kanan.

6.         Antara perkara-perkara yang membatalkan wuduk:

(a)    keluar sesuatu dari qubul dan dubur;
(b)   bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang bukan mahram tanpa berlapik;
(c)    menyentuh kemaluan manusia dengan tapak tangan.

7.         Hikmat berwuduk:

(a)    menghapuskan dosa-dosa kecil;
(b)   merupakan syarat sah bagi sesuatu ibadat;
(c)     memberi ketenangan jiwa dan perasaan.

20.5 – Mandi

1.         Mandi ialah meratakan air mutlak ke seluruh badan dengan niat mengangkat          hadas atau membersihkan kotoran.

2.         Jenis-jenis mandi:

(a)    mandi wajib, iaitu mandi yang diwajibkan dan disertai dengan niat kerana berlaku hadas besar seperti berjunub, haid, keluar mani dan mati kecuali mati syahid;
(b)   mandi sunat, iaitu mandi yang disunatkan dan disertai dengan niat kerana tujuan-tujuan tertentu seperti mandi hari Jumaat dan mandi hari raya;
(c)    mandi harus, iaitu mandi selain daripada mandi wajib dan mandi sunat seperti mandi untuk kebersihan dan kesegaran badan.

3.         Sebab-sebab wajib  mandi:

(a)    keluar air mani sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja;
(b)   bersetubuh;
(c)    mati yang bukan mati syahid;
(d)   keluar darah haid dan nifas.

4.         Rukun mandi wajib:

(a)    niat mandi wajib, iaitu ketika air mula sampai ke anggota badan;
(b)   meratakan air ke seluruh anggota badan termasuklah celah-celah jari kaki dan tangan, rambut, kuku dan juga kemaluan.

5.         Perkara-perkara sunat ketika mandi wajib:

(a)    memulakan mandi dengan membaca “Bismillahirahmanirahim”;
(b)   membersihkan terlebih dahulu segala kotoran yang boleh menghalang air sampai ke anggota badan;
(c)    berwuduk sebelum mandi;
(d)   mengosok seluruh anggota badan.

6.         Hikmat mandi wajib:

(a)    membolehkan seseorang itu beribadat kepada Allah SWT;
(b)   menyegarkan tubuh badan dan mencergaskan minda;
(c)    memberi keselesaan untuk berinteraksi dengan orang lain.

7.         Perkara yang diharamkan ketika berhadas besar:

(a)    solat wajib atau sunat;
(b)   melakukan tawaf;
(c)    menyentuh, membawa dan membaca al Quran;
(d)   duduk dalam masjid.

20.6 – Tayamum

1.         Tayamum ialah menyapu debu tanah yang suci ke muka dan kedua-dua belah         tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat tertentu berserta dengan niat.

2.         Sebab-sebab tayamum:

(a)    ketiadaan air atau ada air tetapi hanya cukup untuk keperluan makan dan minum;
(b)   sakit yang memudaratkan jika terkena air;
(c)    air yang terlalu sejuk dan boleh memudaratkan diri;
(d)   terkurung dan tiada bekalan air.

3.         Syarat-syarat tayamum:

(a)    masuk waktu solat;
(b)   debu tanah mestilah suci daripada najis;
(c)    debu mestilah kering dan tidak bercampur Lumpur;
(d)   membersihkan najis sebelum bertayamum.

4.         Rukun tayamum:

(a)    niat;
(b)   menyapu muka;
(c)    menyapu kedua tangan hingga ke siku;
(d)   tertib.

5.         Cara-cara bertayamum:

(a)    tekan kedua-dua tapak tangan ke atas debu yang suci;
(b)   kemudian sapu muka dengan debu tadi disertai dengan niat;
(c)    seterusnya tekan kedua tapak tangan ke atas debu tersebut di tangan kanan dan kiri hingga ke siku.

6.         Perkara-perkara sunat ketika bertayamum:

(a)    memulakan dengan membaca “Bismillahirahmanirahim”;
(b)   mendahulukan tangan kanan daripada tangan kiri;
(c)    menipiskan debu di tapak tangan;
(d)   membaca doa.

7.         Perkara-perkara yang membatalkan tayamum:

(a)    semua perkara yang membatalkan wuduk;
(b)   ada air sebelum solat sekiranya bertayamum kerana ketiadaan air.

20.7 – Samak

1.         Samak ialah menyucikan kulit binatang selain daripada kulit anjing dan babi           dengan cara-cara tertentu.

2.         Kulit binatang yang halal atau haram dimakan kecuali anjing dan babi menjadi       suci apabila disamak.

3.         Alat-alat yang digunakan untuk menyamak:

(a)    tawas;
(b)   bahan kimia;
(c)    kapur sirih;
(d)   buah manjakani.

4.         Cara-cara menyamak:

(a)    lendir, darah dan lemak yang melekat pada kulit binatang mestilah dibuang terlebih dahulu;
(b)   selepas itu kulit binatang digosok dengan alat-alat menyamak supaya benda-benda yang masih melekat pada kulit dapat dihilangkan;
(c)    kemudian jemurkan kulit binatang tersebut sehingga kering.

5.         Faedah menyamak:

(a)    menjamin kebersihan barang yang digunakan;
(b)   menghilangkan kuman-kuman penyakit yang terdapat pada kulit binatang;
(c)    dapat dikomersilkan untuk menambah pendapatan.

20.8 – Hikmat Bersuci Dalam Kehidupan Individu dan Masyarakat

1.         Hikmat bersuci kepada individu:

(a)    menjamin kesihatan fizikal dan mental;
(b)   menjauhkan diri daripada penyakit;
(c)    ibadat akan lebih sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

2.         Hikmat bersuci kepada masyarakat:

(a)    kehidupan masyarakat dalam keadaan aman dan sejahtera;
(b)   melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas;
(c)    dipandang mulia oleh masyarakat lain.

3.         Akibat mengabaikan kebersihan diri dan alam sekitar:

(a)    individu akan mudah dijangkiti oleh pelbagai penyakit;
(b)   kehidupan menjadi tidak selesa;
(c)    alam sekitar akan tercemar dengan sampah sarap;
(d)   kualiti udara akan tercemar dan akan menjejaskan kesihatan.

4.         Langkah-langkah untuk menjaga kebersihan alam sekitar:

(a)    bergotong royong membersihkan kawasan sekitar;
(b)   pemupukan nilai-nilai murni semenjak dari kanak-kanak lagi;
(c)    menyediakan tempat membuang sampah yang mencukupi;
(d)   pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak yang berwajib.

Tajuk: 21 – Solat

21.1 – Solat Fardu

1.         Solat pada istilah syarak ialah beberapa perbuatan dan ucapan yang dimulai            dengan takbiratulihram dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.

2.         Syarat-syarat wajib solat:

(a)    beragama Islam, tidak wajib kepada orang kafir kerana mereka tidak percaya kepada Allah SWT;
(b)   berakal, tidak wajib kepada orang yang gila;
(c)    baligh; tidak wajib kepada kanak-kanak;
(d)   suci daripada haid dan nifas;
(e)    boleh mendengar dan melihat, tidak wajib kepada orang buta, tuli dan bisu sejak lahir.


3.         Syarat-syarat sah solat:

(a)    suci daripada hadas kecil dan besar;
(b)   suci badan, pakaian dan tempat solat;
(c)    menutup aurat;
(d)   menghadap kiblat;
(e)    yakin telah masuk waktu solat.

4.         Sunat ab’ad ialah sunat yang sangat dituntut dan mendapat pahala apabila melakukannya ketika solat. Sekiranya tertinggal, tidak membatalkan solat tetapi             disunatkan sujud sahwi sebelum salam.

5.         Antara perkara-perkara sunat ab’ad ialah:

(a)    membaca tahiyat awal;
(b)   duduk untuk membaca tahiyat awal;
(c)    berselawat kepada nabi dalam tahiyat awal;
(d)   membaca selawat ke atas keluarga nabi dalam tahiyat akhir;
(e)    membaca doa qunut semasa solat subuh.

6.         Sunat haiat ialah perkara sunat yang digalakkan dan mendapat pahala apabila         melakukannya, tetapi jika tertinggal tidak perlu sujud sahwi.

7.         Antara perkara-perkara sunat haiat ialah:

(a)    mengangkat tangan ke telinga semasa takbiratulihram;
(b)   membaca doa iftitah;
(c)    membaca tasbih semasa rukuk dan sujud.

8.         Perkara-perkara yang membatalkan solat:

(a)    meninggalkan mana-mana rukun solat;
(b)   berhadas besar atau kecil;
(c)    terbuka aurat;
(d)   bergerak tiga kali berturut-turut.

9.         Perkara-perkara makruh dalam solat:

(a)    menahan diri daripada membuang air;
(b)   meludah;
(c)    memejamkan mata.

10.       Hikmat solat:

(a)    dapat membentuk akhlak dan peribadi mulia;
(b)   memperoleh hidayat daripada Allah SWT;
(c)    memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa.

21.2 – Khusyuk Solat dan Kesannya Pada Kehidupan Mukmin

1.         Khusyuk dalam solat bermaksud tunduk dan merendah diri dengan memberikan
            sepenuh tumpuan fikiran, hati dan anggota semata-mata kerana Allah SWT.

2.         Cara-cara mendapatkan khusyuk dalam solat:

(a)    peranan hati:

·         memberikan tumpuan dengan mengingati kebesaran dan keagungan Allah SWT;
·         mengingati kelemahan dan kekurangan diri berbanding dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT;

(b)   peranan akal:

·         memahami dan menghayati apa yang dibaca;
·         menumpukan sepenuh perhatian kepada solat.

(c)    peranan anggota:

·         menumpukan pandangan mata hanya ke tempat sujud;
·         tidak bergerak-gerak kecuali yang berkaitan dengan solat;
·         melakukan rukun fikli dengan sempurna dan tamakninah.

3.         Perkara-perkara yang menghalang khusyuk dalam solat:

(a)    tidak memahami maksud ayat dan bacaan dalam solat;
(b)   banyak berangan-angan dan berkhayal dalam solat;
(c)    banyak melakukan maksiat dan dosa.

4.         Hikmat khusyuk dalam solat:

(a)    solat yang khusyuk akan diterima Allah SWT;
(b)   meningkatkan keimanan kepada Allah SWT
(c)    mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar.

21.3 – Tuntutan Solat Berjemaah

1.         Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang diketuai       oleh seorang imam.

2.         Hukum solat berjemaah bagi solat fardu ialah sunat muakkad (dituntuta) terhadap             setiap orang Islam dan menjadi fardu kifayah bagi sesebuah kawasan atau qariah.

3.         Kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian ialah mendapat ganjaran pahala sebanyak dua puluh tujuh darjat.

4.         Solat-solat yang boleh dilakukan secara berjemaah ialah:

(a)    solat wajib lima waktu sehari semalam;
(b)   solat sunat Tarawih di bulan Ramadan;
(c)    solat sunat dua Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

5.         Syarat-syarat makmum:

(a)    berniat mengikut imam;
(b)   mengikuti semua pergerakan imam;
(c)    makmum lelaki mestilah berimankan dengan imam lelaki.

6.         Syarat-syarat menjadi iman:

(a)    seorang lelaki. Perempuan hanya boleh menjadi iman kepada perempuan saja;
(b)   orang yang telah baligh;
(c)    bacaan iman betul dan sempurna.

7.         Orang yang layak menjadi imam:

(a)    paling baik dalam membaca ayat-ayat al Quran;
(b)   berakhlak mulia;
(c)    dihormati dan disegani.

8.         Jenis-jenis makmum:

(a)    makmum muafik iaitu makmum yang sempat membaca Al Fatihah ketika imam masih berdiri dalam rakaat pertama;
(b)   makmum masbuk iaitu makmum yang tidak sempat membaca Al Fatihah bersama imam kerana imam telah rukuk. Makmum masbuk mendapat rakaat sekiranya sempat rukuk dan tamakninah bersama imam walaupun tidak sempat membaca Al Fatihah.

9.         Hikmat solat berjemaah:

(a)    melatih diri supaya menjadi Muslim yang berdisiplin;
(b)   merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam;
(c)    menimbulkan perasaan sama rata sesama orang Islam.

Tajuk: 22 – Solat Jumaat

22.1 – Konsep Solat Jumaat

1.         Solat Jumaat ialah solat dua rakaat yang dilakukan dalam waktu Zuhur, pada hari Jumaat secara berjemaah dan didahulukan dengan dua khutbah dengan syarat-           syarat tertentu.
2.         Keistimewaan hari Jumaat:

(a)    penghulu bagi sekelian hari
(b)   hari berlakunya kiamat;
(c)    Allah SWT memakbulkan doa hamba Nya yang beramal soleh.

3.         Syarat-syarat wajib solat Jumaat:

(a)    Islam;
(b)   Berakal;
(c)    Baligh;
(d)   Lelaki;
(e)    Bermastautin.

4.         Syarat-syarat sah solat Jumaat:

(a)    ditunaikan dalam waktu Zuhur;
(b)   didahului oleh dua khutbah;
(c)    dilakukan secara berjemaah;
(d)   bilangan makmum tidak kurang daripada 40 orang yang bermastautin.

5.         Golongan yang diharuskan meninggalkan solat Jumaat:

(a)    orang sakit yang memudaratkan kesihatannya;
(b)   orang musafir yang diharuskan;
(c)    keselamatan diri yang terancam.

6.         Bermusafir ialah orang yang dalam perjalanan yang lebih daripada dua marhalah,   iaitu lebih kurang 94 km.

7.         Bermastautin ialah orang yang tinggal menetap di sesuatu tempat dan tidak            berhajat untuk berpindah ke tempat lain.

8.         Bermukim ialah orang yang tinggal menetap di sesuatu tempat dan tidak berhajat   untuk menetap di situ selama-lamanya.

9.         Hikmat solat Jumaat:

(a)    mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam;
(b)   dapat mengetahui isu-isu semasa dalam masyarakat Islam;
(c)    menunjukkan kekuatan dan perpaduan umat Islam;
(d)   dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.




22.2 – Khutbah Jumaat

1.         Khutbah ialah ucapan atau syarahan yang mengandungi nasihat atau pengajaran     yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat.

2.         Rukun khutbah Jumaat:

(a)    memuji Allah SWT;
(b)   berselawat kepada Nabi Muhammad SAW;
(c)    memberi peringatan kepada jemaah supaya bertakwa kepada Allah SWT;
(d)   membaca sekurang-kurangnya satu ayat al Quran sama ada pada khutbah pertama atau khutbah kedua;
(e)    mendoakan supaya Allah SWT mengampunkan orang-orang Islam.

3.         Syarat-syarat sah khutbah Jumaat:

(a)    khutbah disampaikan setelah masuk waktu Zuhur;
(b)   khutbah disampaikan sebelum solat Jumaat;
(c)    rukun khutbah disampaikan dalam bahasa Arab;
(d)   khatib hendaklah seorang lelaki;
(e)    khatib suci daripada hadas kecil dan hadas besar;
(f)    berturut-turut di antara dua khutbah.

4.         Perkara-perkara sunat khutbah:

(a)    khutbah disampaikan di atas mimbar;
(b)   khatib memegang tongkat ketika berkhutbah;
(c)    khatib memberi salam sebelum duduk di atas mimbar;
(d)   khatib naik ke atas mimbar setelah azan yang pertama;
(e)    khatib berkhutbah dengan suara yang nyaring.

22.3 – Adab Makmum Solat Jumaat

1.         Adab-adab ketika di masjid:

(a)    memakai bau-bauan;
(b)   memakai pakaian yang suci dan bersih;
(c)    sentiasa dalam keadaan berwuduk;
(d)   menjaga ketenteraman dengan tidak berbuat bising.

2.         Adab ketika masuk masjid:

(a)    melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan;
(b)   membaca doa;
(c)    tidak melangkah makmum yang berada dalam masjid;
(d)   penuhkan saf kosong di hadapan.
3.         Adab-adab setelah masuk ke dalam masjid:

(a)    solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum duduk;
(b)   berniat iktikaf;
(c)    bersalam dengan jemaah yang berhampiran;
(d)   membaca al Quran, berselawat, berzikir dan berdoa.

4.         Adab-adab sebelum solat Jumaat:

(a)    mandi sunat Jumaat;
(b)   memotong kuku, menggunting misai dan bercukur;
(c)    memakai pakaian yang bersih dan suci;
(d)   memakai bau-bauan yang diharuskan.

5.         Adab selepas solat Jumaat:

(a)    mengerjakan solat sunat;
(b)   berdoa selepas selesai menunaikan solat
(c)    membaca doa keluar masjid
(d)   bersegera meneruskan aktiviti harian setelah selesai solat Jumaat.

Tajuk: 23 – Solat Sunat Tahiyatul Masjid dan Solat Sunat Rawatib

1.         Solat sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan setiap      kali masuk ke dalam masjid sebelum duduk.

2.         Tujuan melakukan solat ini ialah bagi menghormati masjid sebagai rumah Allah      SWT.

3.         Solat sunat Rawatib ialah solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat      fardu.

4.         Solat sunat Rawatib boleh dilakukan pada waktu-waktu berikut:

(a)    dua rakaat sebelum solat fardu Subuh;
(b)   dua rakaat sebelum dan selepas solat fardu Zuhur;
(c)    dua rakaat sebelum solat fardu Asar;
(d)   dua rakaat selepas solat fardu Maghrib;
(e)    dua rakaat sebelum dan selepas solat fardu Isyak.

5.         Hikmat solat sunat Rawatib:

(a)    menyempurnakan kekurangan pahala dalam solat fardu;
(b)   meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT;
(c)    mewujudkan sifat tawaduk dalam diri seseorang Muslim.

2 ulasan: