Isnin, 14 Februari 2011

Akidah

Pendidikan Islam
Tingkatan 1                                                                                                            Akidah

Tajuk: 14 – Konsep Akidah

1.         Akidah dari segi istilah syarak bermaksud kepercayaan dan keyakinan yang            mantap terhadap konsep ketuhanan, kerasulan, perkara sam’iyyat dan perkara             mumkinat berdasarkan dalil al Quran dan As Sunnah.

2.         Ciri-ciri akidah yang benar:

(a)    kepercayaan dan keyakinan yang teguh terhadap Allah SWT yang Maha Berkuasa;
(b)   kepercayaan kepada rasul serta beriman dengan sunnah yang dibawa;
(c)    kepercayaan terhadap perkara sam’iyyat (ghaib) yang dijadikan oleh Allah SWT.

3.         Nama-nama lain bagi ilmu akidah:

(a)    ilmu Kalam, iaitu ilmu yang membahaskan tentang kalam Allah SWT, sama ada qadim (dahulu) atau hadis (baru);
(b)   ilmu Makrifah, iaitu ilmu yang membincangkan tentang sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT dan rasul Nya;
(c)    ilmu Tauhid, iaitu ilmu yang membicarakan tentang keesaan dan kewujudan Allah SWT;
(d)   ilmu Usuluddin, iaitu ilmu yang membincangkan tentang perkara-perkara asas dalam agama seperti ketuhanan.

4.         Ciri-ciri akidah yang salah:

(a)    menolak keesaan dan kekuasaan Allah SWT;
(b)   mensyirikkan Allah SWT dengan makhluk ciptaan Nya;
(c)    menafikan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT.

5.         Tujuan mempelajari ilmu akidah:

(a) memantapkan keimanan terhadap Allah SWT;
(b)   menjauhkan diri daripada amalan yang boleh merosakkan keimanan terhadap Allah SWT;
(c)    mempertahankan akidah daripada sebarang bentuk penyelewengan.

6.         Alam syahadah ialah setiap kejadian alam yang boleh dilihat serta dikaji oleh          pancaindera manusia seperti pokok, bulan, matahari, gunung ganang dan   sebagainya.

7.         Semua benda yang dilihat dan dikaji melalui pancaindera menjadi bukti      kewujudan Allah SWT.

8.         Akidah dan syariat saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain dan     tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan individu Muslim.

9.         Syariat ialah peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan oleh Allah SWT             sama ada dalam bentuk suruhan atau larangan.

Tajuk: 15 – Asas Akidah Islam

1.         Akidah Islam bersumberkan kepada dua perkara iaitu al Quran dan Hadis.

2.         Aspek-aspek perbahasan akidah Islam:

(a)    tauhid Rububiyyah iaitu keyakinan bahawa Allah SWT adalah sebagai Pencipta, Pemilik dan Penguasa ala mini;
(b)   tauhid Uluhiyyah iaitu keyakinan bahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan hanya Dia saja yang wajib disembah dan ditaati;
(c)    An-Nubuwwat iaitu perutusan nabi dan rasul yang membawa ajaran Allah SWT untuk disampaikan kepada manusia;
(d)   As-Sam’iyyat iaitu perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia seperti dosa, pahala, syurga dan neraka.

3.         Akidah seseorang itu boleh rosak disebabkan oleh perkataan, perbuatan dan hati.

(a)    melalui perkataan:

·         menghina Islam;
·         mengubah hukum Allah SWT seperti mengatakan menutup aurat adalah tidak wajib;
·         bersumpah dengan selain nama Allah SWT;
·         menyanyi lagu-lagu yang bertentangan dengan akidah Islam.

(b)   melalui perbuatan:

·         menyembah berhala, pokok dan kubur;
·         menghina al Quran seperti memijak dan mengoyak;
·         memakai lambing agama lain seperti salib, tatu dan sebagainya;
·         menyertai upacara agama lain seperti upacara penyucian dosa.

(c)    melalui hati:

·         berniat keluar daripada Islam;
·         yakin bahawa alam dan isi kandungannya terjadi dengan sendiri;
·         ragu-ragu tentang rukun Islam, rukun iman atau hukum-hukum Islam.
4.         Faktor-faktor salah laku akidah:

(a)    jahil tentang Islam;
(b)   menjauhkan diri daripada ulama;
(c)    berkawan dengan orang yang buruk akhlaknya;
(d)   terpengaruh dengan budaya dan hiburan yang merosakkan akhlak.

5.         Perkara yang memantapkan akidah:

(a)    melalui perkataan:

·         membaca dan memahami al Quran dan hadis;
·         sentiasa berzikir dan berselawat;
·         saling nasihat menasihati ke arah kebaikan.

(b)   melalui perbuatan:

·         melakukan ibadat wajib dan sunat;
·         menuntut ilmu pengetahuan yang berfaedah;
·         melakukan pekerjaan yang halal.

(c)    melalui hati:

·         yakin dengan pertolongan Allah SWT;
·         sentiasa mengingati Allah SWT;
·         ikhlas melakukan sesuatu ibadat.

Tajuk: 16 – Konsep Muslim dan Mukmin

1.         Islam dari segi bahasa bermaksud sejahtera, selamat, aman dan menyerah.

2.         Islam dari segi syarak pula ialah menyerah diri, tunduk dan patuh pada perintah     Allah SWT yang disampaikan oleh rasul Nya.

3.         Setiap orang Islam mestilah meyakini dan mengamalkan semua rukun Islam iaitu:

(a)    mengucap dua kalimah syahadah;
(b)   menunaikan solat lima waktu sehari semalam;
(c)    berpuasa pada bulan Ramadan;
(d)   mengeluarkan zakat;
(e)    mengerjakan haji ke Baitullah.

4.         Iman dari segi bahasa ialah kepercayaan dan keyakinan, manakala iman dari segi    syarak pula ialah mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati serta           dibuktikan dengan mengerjakan segala suruhan Allah SWT.

5.         Setiap orang Islam mestilah meyakini semua rukun iman.

6.         Perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh manusia untuk meningkatkan    keimanan mereka ialah:

(a)    ikhlas dalam melakukan perintah Allah SWT;
(b)   cintakan majlis ilmu;
(c)    sentiasa merenung kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

7.         Ihsan dari segi bahasa ialah melakukan kebaikan kepada orang lain, manakala         ihsan dari segi syarak pula ialah kesungguhan, ketekunan dan keikhlasan dalam             mengerjakan ibadat semata-mata kerana Allah.

8.         Ciri-ciri orang yang bersifat ihsan dalam kehidupan:

(a)    melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas kerana Allah SWT;
(b)   menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara;
(c)    mematuhi peraturan atau undang-undang yang ditetapkan.

9.         Muslim ialah orang yang percaya dan taat pada ajaran yang dibawa oleh     Rasulullah SAW.

10.       Mukmin ialah orang yang percaya dan yakin tentang kewujudan Allah SWT dan    ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

11.       Antara sifat muslim dan mukmin ialah:

(a)    mengerjakan solah dengan khusyuk;
(b)   menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan iman;
(c)    bermotivasi dalam pelajaran.

12.       Antara langkah-langkah untuk menjadi muslim dan mukmin yang sejati ialah:

(a)    mempelajari ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah;
(b)   melazimi membaca al Quran dan berzikir kepada Allah SWT;
(c)    menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Tajuk: 17 – Rukun Iman Teras Akidah Islam

1.         Setiap rukun iman mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain dan perlu    diyakini secara keseluruhan.



2.         Mempercayai sebahagian rukun iman saja boleh merosakkan iman seseorang           seperti:

(a)    percaya kepada Allah SWT tetapi menolak rasul;
(b)   percaya kepada Allah SWT tetapi menolak al Quran;
(c)    percaya kepada rasul tetapi menolak hadis.

3.         Hikmat mempercayai rukun iman terhadap diri sendiri:

(a)    meyakini akan kekuasaan Allah SWT;
(b)   melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan;
(c)    berakhlak mulia dalam kehidupan.

4.         Hikmat mempercayai rukun iman terhadap keluarga:

(a)    melahirkan keluarga yang saling berkasih sayang;
(b)   melahirkan keluarga yang bersama-sama mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran;
(c)    mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT.

5.         Hikmat mempercayai rukun iman terhadap masyarakat:

(a)    kehidupan bertambah makmur dan maju;
(b)   gejala sosial dalam masyarakat akan dapat diatasi;
(c)    mendapat keberkatan Allah SWT.

6.         Akibat menafikan rukun iman:

(a)    iman seseorang itu akan terbatal;
(b)   meragui tentang keesaan dan kekuasaan Allah SWT;
(c)    mudah melakukan perbuatan maksiat.

Tajuk: 18 – Dalil Kewujudan Allah SWT

1.         Proses kejadian manusia:

(a)    bermula apabila air mani (sperma) lelaki dan ovum perempuan bersenyawa dalam rahim;
(b)   dalam tempoh 40 hari, air mani bertukar menjadi darah beku (alaqah);
(c)    darah beku tersebut kemudiannya bertukar menjadi seketul daging (mudghah);
(d)   daging tersebut akan membaluti tulang-tulang hingga menjadi susunan yang kukuh sebagai janin;
(e)    peringkat seterusnya ialah penyempurnaan anggota badan dan pancaindera yang membentuk seorang bayi;
(f)    peringkat akhir ialah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya.

2.         Kejadian siang dan malam juga merupakan bukti kewujudan Allah SWT.

3.         Siang dan malam terjadi disebabkan bumi yang berputar di atas paksinya. Bumi     mengambil masa selama 24 jam untuk membuat sekali putaran. Semasa berputar,       kawasan yang disinari cahaya matahari akan menjadi siang manakala kawasan         yang tidak mendapat cahaya matahari menjadi malam.

4.         Faedah kejadian siang dan malam:

(a)    manusia dapat melakukan aktiviti seharian seperti bekerja dengan sempurna;
(b)   manusia dapat berehat pada waktu malam.

5.         Allah SWT berkuasa menjadikan haiwan dalam pelbagai bentuk dan jenis sama      ada haiwan di darat, di udara, di air dan sebagainya.

6.         Sebahagian daripada haiwan-haiwan tersebut halal dimakan dan sebahagian lagi    haram dimakan.

7.         Allah SWT juga menjadikan tumbuh-tumbuhan dalam pelbagai bentuk, warna        dan rasa. Contohnya buah-buahan ada yang manis, masam, pahit dan sebagainya.

8.         Tumbuh-tumbuhan itu berfaedah kepada manusia dan makhluk-makhluk lain.

9.         Langkah-langkah menghargai nikmat kejadian alam:

(a)    menggunakan nikmat kejadian alam pada jalan kebaikan;
(b)   tidak memusnahkan tanam-tanaman dengan sesuka hati;
(c)    tidak melakukan pencemaran terhadap sungai, laut dan sebagainya..


2 ulasan:

  1. Seseorang individu akan Mendapat kedudukan yang baik di sisi Allah SWT Serta Mendapat kebahagiaan hidup di dunia Dan akhirat apabila mempelajari ilmu akidah.
    Menurut pendapat anda ,bagaimanakah mempelajari ilmu akidah dapat menjamin kedudukan seseorang di sisi Allah SWT?

    BalasPadam
  2. Sekiranya berpeluang, tolong masukkan bab perkara ghaib. Banyak masyarakat tidak lagi percaya kepada perkara ghaib terutama yang berkaitan dengan 'jin dan syaitan' yang sering kita gunakan istilah hantu. Sedangkan dalam surah an-Nas telah disebut mengenai jin yang hidup disamping manusia.

    BalasPadam