Isnin, 14 Februari 2011

Kemunculan Tamadun Islam dan Perkembangannya di Makkah

Bab 4: Kemunculan Tamadun Islam dan Perkembangannya di Makkah

Masyarakat Arab Jahiliah: Jahiliah bermaksud jahil atau tidak tahu serta tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Diberi gelaran masyarakat jahiliah kerana tidak mahu menerima kebenaran dan ajaran para nabi dan rasul sebelumnya. Masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua iaitu masyarakat badwi dan hadhari.

Zaman jahiliah dianggap zaman kegelapan kerana; mereka tidak menyembah Allah, mereka menyembah berhala dan animism, kehidupan masyarakatnya kucar-kacir, tiada panduan daripada kitab, nabi dan rasul kepada masyarakat. Mempunyai akhlak yang rendah seperti kejam, zalim angkuh dan sebagainya.

Ciri-ciri Masyarakat Jahiliah: Wanita dipandang rendah dan hina. Mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral. Lelaki boleh berkahwin sebanyak mungkin. Golongan miskin ditindas. Riba dan penindasan berleluasa. Merompak dan merampas barangan dibenarkan. Mengamalkan sistem kabilah dan semangat asabiah yang kuat.

Empat bentuk kepercayaan iatu agama Wathani (sembah berhala) agama Samawi (Kristian dan Yahudi), agama Hanif iaitu agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail dan kepercayaan khurafat.

Kesan-kesan semangat assabiah ialah: Mementingkan kepada suku kaumnya sahaja. Kerap mencetuskan peperangan dan pergaduhan. Sistem kabilah melahirkan perasaan kesukuan yang menebal dan sangat fanatik. Mewujudkan masyarakat yang kucar kacir dan tidak aman.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW Sebelum Dilantik Menjadi Rasul: Nabi Muhammad SAW berasal daripada keturunan Qusai bin Kilab iaitu pemimpin Makkah. Nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah. Bapanya Abdullah bin Abdul Mutalib dan ibunya bernama Aminah binti Wahab. Baginda dilahirkan pada 20 April 570 Masehi pada malam Isnin bersamaan 12 Rabiulawal.

Pengalaman baginda ialah pernah bekerja sebagai pengembala kambing dengan Abu Talib. Terlibat dalam perniagaan sejak berusia 12 tahun. Membantu bapa saudaranya Abu Talib dalam perniagaan di Syam dan menjalankan perniagaan Khadijah bt. Khuwailid. Baginda berkahwin dengan Khadijah bt. Khuwailid ketika berusia 25 tahun.

Keperibadian Nabi Muhammad SAW: memiliki empat sifat terpuji iaitu, Siddiq (benar) Amanah (amanah), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Rasa rendah diri dalam pergaulan dengan semua masyarakat dan mempunyai sikap pemaaf. Baginda mempunyai sifat pengasih dan bertimbang rasa. Digelar al-Amin kerana perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Sering berfikir untuk mencari kebenaran dengan bertahanuth seorang diri di Gua Hira yang terletak di bukit Nur. Selepas 6 tahun bertahanuth, akhirnya pada 6 ogos 610 Masehi bersamaan dengan 17 Ramadhan, wahyu pertama telah diturunkan melalui malaikat Jibrail.

Kerasulan Nabi Muhammad SAW: Wahyu pertama yang diturunkan ialah Surah Al-Alaq ayat 1 – 5 yang memerintahkan umat Islam supaya lakukan amalan membaca. Wahyu kedua diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada surah Al-Muddasir ayat 1 – 7 yang menjadi bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Penyebaran Islam di Makkah: Dakwah Islamiyah secara rahsia berjalan selama 3 tahun yang hanya ditujukan kepada ahli keluarga, sahabat dan kerabat baginda. Kaedah yang digunakan untuk berdakwah secara rahsia ialah, ceramah secara rahsia dan ajak secara persaorangan. Dakwah secara terbuka dilakukan selama 10 tahun di Makkah dan cara ini dilakukan setelah mendapat perintah daripada Allah daripada surah al-Hijr. Kaedah yang digunakan untuk berdakwah cara ini ialah; ceramah di rumah dan seruan secara terbuka.

Reaksi Masyarakat Arab Terhadap Islam: Ajaran Islam memberi layanan yang sama rata terhadap semua manusia. Ajaran Islam menekankan persamaan taraf, tolong menolong dan saling membantu. Pada peringkat awal, tumpuan dakwah kepada ahli keluarga dan sahabat yang rapat dilakukan secara rahsia. Orang Arab Quirasy telah menentang ajaran Islam yang dibawa oleh rasulullah kerana;

  • Perbezaan kepercayaan iaitu mereka menyembah berhala sedangkan Islam memerintahkan agar menyembah Allah SWT.
  • Takut pengaruh mereka tergugat kerana mengiktiraf kepimpinan Nabi bererti pengaruh dan kedudukan mereka akan diambil alih.
  • Enggan menerima konsep persamaan taraf.
  • Akan menjejaskan ekonomi mereka kerana aktiviti pembuatan dan pengukiran berhala akan diharamkan.
Mereka telah menyeksa sesiapa yang memeluk Islam dengan kejam, antaranya ialah;
  • Bilal bin Rabah – dijerut leher dengan tali oleh tuannya iaitu Umaiyah bin Khalaf namun imannya tidak goyah.
  • Keluarga Yasir – keluarganya telah dijemur di padang pasir hingga Yassir dan isterinya, Sumaiyah gugur syahid.
  • Amir bin Fuhairah – diseksa dengan kejam oleh tuannya hingga gila.
  • Zunainah – diseksa oleh Abu Lahab hingga matanya buta.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah ditentang dengan pelbagai cara seperti:
  • Diganggu semasa beribadat.
  • Penyair Arab mengejek ajaran Nabi Muhammad SAW melalui puisi mereka.
  • Melemparkan tohmahan dan pelbagai tuduhan.
  • Memujuk Nabi agar meninggalkan dakwah Islam dengan menawarkan kedudukan, wanita cantik dan harta tetapi ditolak.
  • Melakukan pemulauan terhadap keluarga nabi.
Nabi Muhammad SAW Menyelesaikan Masalah: Apabila berlaku penentangan yang hebat daripada kaum Quirasy, nabi telah membenarkan orang Islam berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan. Pemilihan Habsyah kerana rajanya iaitu Najasyi adalah raja yang baik dan masih mengamalkan ajaran yang terkandung dalam kitab Injil. Menjalankan dakwah ke Thaif, nabi bersama Zaid bin Harithah telah cuba untuk pergi berdakwah di Thaif tetapi tidak diterima oleh penduduk Thaif. Berhijrah ke Madinah, berlaku pada tahun 622 Masehi setelah mendapat perintah daripada Allah SWT. Setelah berlaku penghijrahan ke Madinah, Nabi Muhammad SAW telah berjaya menjadikan Madinah sebagai sebuah negara Islam yang unggul.

3 ulasan: