Isnin, 14 Februari 2011

Ibadat T2

Pendidikan Islam
Tingkatan 2                                                                                                                 Ibadat

Tajuk 15 –  Solat Qasar dan Jamak

1.         Rukhsah solat ialah kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir.

2.         Solak jamak ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu dengan         syarat-syarat tertentu.

3.         Jenis-jenis solat jamak:

(a)    solat jamak takdim: menghimpunkan dua solat fardu dalam waktu pertama. Contohnya menunaikan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur.
(b)   Solat jamak takhir: menghimpunkan dua solat fardu dalam waktu kedua. Contohnya menunaikan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar.

4.         Syarat solat jamak takdim:

(a)    mendahulukan solat yang waktunya terdahulu iaitu Zuhur dan Maghrib;
(b)   niat jamak pada solat yang pertama;
(c)    kedua-dua solat tersebut dilakukan secara berturut-turut.

5.         Syarat solat jamak takhir:

(a)    berniat akan melakukan solat jamak takhir semasa dalam solat pertama;
(b)   masih dalam perjalanan sehingga selesai kedua-dua solat.

6.         Solat qasar menurut istilah syarak ialah memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.

7.         Syarat solat qasar:

(a)    hendaklah melepasi sempadan tempat tinggal;
(b)   tidak berniat untuk bermukim melebihi empat hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik;
(c)    tidak berimamkan kepada imam yang solat sempurna rakaatnya.

8.         Hikmat disyariatkan solat jamak dan qasar:

(a)    memberikan keringanan kepada umat Islam untuk menunaikan solat fardu ketika dalam musafir;
(b)   umat Islam dapat menyempurnakan hajatnya tanpa meninggalkan perintah Allah SWT;
(c)    menunjukkan ibadat fardu wajib ditunaikan walau dalam apa jua keadaan.

Tajuk 16 –  Puasa Menjana Keperibadian Muslim

16.1 – Ibadat Puasa

1.         Puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan           perkara-perkara lain yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga matahari           terbenam disertai dengan niat.

2.         Rukun-rukun puasa:

(a)    niat berpuasa:
(b)   menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga matahari terbenam.

3.         Syarat wajib puasa:

(a)    Islam
(b)   baligh;
(c)    berakal;
(d)   bebas daripada uzur syar’ie.

4.         Syarat sah puasa ialah:

(a)    Islam;
(b)   berakal;
(c)    mumaiyiz;
(d)   niat pada waktu malam;
(e)    suci daripada haid dan nifas.

5.         Perkara yang membatalkan puasa:

(a)    makan dan minum dengan sengaja;
(b)   memasukkan sesuatu ke dalam rongga;
(c)    keluar haid.

6.         Perkara sunat puasa:

(a)    segera berbuka puasa apabila masuk waktu;
(b)   berbuka puasa dengan buah kurma atau makanan yang manis;
(c)    bersahur.

7.         Perkara makruh puasa:

(a)    merasai makanan dengan lidah;
(b)   berkumur-kumur secara berlebihan.

8.         Hikmat berpuasa:

(a)    melatih diri supaya bersifat sabar, jujur dan ikhlas;
(b)   menimbulkan keinsafan dan belas kasihan kepada orang miskin;
(c)    memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman.

9.         Akibat terhadap orang yang tidak berpuasa:

(a)    dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT;
(b)   jiwa dan perasaan sentiasa gelisah;
(c)    hidup tidak mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

16.2 – Golongan yang Harus Berbuka Puasa

1.         Golongan yang harus berbuka puasa:

(a)    orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh;
(b)   orang tua yang tidak mampu berpuasa;
(c)    orang yang bermusafir melebihi dua marhalah
(d)   perempuan mengandung yang bimbangkan kesihatannya atau anak kandungannya.

2.         Qada puasa bermaksud mengerjakan semula puasa yang tidak sah, yang tertinggal             atau sengaja ditinggalkan pada hari lain.

3.         Fidyah puasa bermaksud memberikan secupak makanan kepada fakir miskin bagi   setiap hari puasa yang ditinggalkan.

4.         Kifarat puasa pula bermaksud denda yang dikenakan kepada suami kerana             melakukan persetubuhan dengan sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadhan.

5.         Hikmat diharuskan berbuka puasa:

(a)    memberi kemudahan dan kelonggaran kepada mereka yang tidak dapat mengerjakan ibadat puasa;
(b)   dapat menjalani kehidupan berlandaskan hokum-hukum syarak;
(c)    dapat memberi semangat atau motivasi untuk terus mengerjakan ibadat puasa.

Tajuk: 17 – Menghayati Bulan Ramadan

1.         Ramadan dari segi bahasa bererti panas terik, manakala dari segi istilah syarak        pula, Ramadan bererti bulan rahmat yang diwajibkan berpuasa.

2.         Antara keistimewaan bulan Ramadan ialah:

(a)    Allah SWT menurunkan al Quran pada malam Lailatulqadar;
(b)   bulan khusus bagi umat Islam mengerjakan ibadat puasa, solat Tarawih, bersahur dan sebagainya.

3.         Kelebihan orang yang berpuasa pada bulan Ramadan:

(a)    mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT;
(b)   doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT;
(c)    dosa-dosa yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT.

4.         Amalan utama dalam bulan Ramadan:

(a)    menunaikan solat Tarawih. Antara fadilat solat Tarawih ialah:

·         Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa yang lalu;
·         melatih diri untuk tekun beribadat;
·         tubuh badan menjadi sihat.

(b)   membaca dan bertadarus al Quran. Antara fadilah membaca al Quran ialah:

·         memberi ketenangan jiwa;
·         dapat menyembuhkan penyakit;
·         mendapat syafaat al Quran pada hari akhirat.

(c)    memberi sedekah. Antara fadilat memberi sedekah ialah:

·         memperoleh pahala yang berlipat kali ganda;
·         menampung kecacatan yang terdapat pada ibadat puasa;
·         jauh daripada bala dan bencana;
·         mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.

Tajuk: 18 – Zakat Fitrah

1.         Zakat fitrah menurut istilah syarak bermaksud mengeluarkan makanan asasi bagi    sesebuah negara tertentu dengan kadar yang tertentu dan diberikan kepada     golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

2.         Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah:

(a)    beragama Islam;
(b)   mempunyai kelebihan harta untuk keperluan diri dan ahli keluarga pada malam dan siang hari raya;
(c)    hidup pada akhir bulan Ramadan dan awal bulan Syawal.

3.         Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram makanan   asasi sesebuah negara.

4.         Hukum dan waktu mengeluarkan zakat fitrah:

(a)    harus – sepanjang bulan Ramadan;
(b)   wajib – bermula setelah terbenam matahari pada akhir Ramadan;
(c)    sunat – bermula dari masuk waktu solat Subuh sehingga solat Hari Raya;
(d)   makruh – selepas solat hari raya sehingga terbenam matahari 1 Syawal;
(e)    haram – setelah terbenam matahari pada 1 Syawal.

5.         Antara golongan yang berhak menerima zakat fitrah:

(a)    orang fakir;
(b)   orang miskin;
(c)    amil, iaitu orang yang menguruskan pungutan zakat;
(d)   mualaf, iaitu orang yang baru memeluk Islam.

6.         Hikmat zakat fitrah terhadap individu:

(a)    melahirkan individu yang penyayang kepada sesama manusia;
(b)   menjauhkan sifat bakhil dalam diri seseorang.

7.         Hikmat zakat fitrah kepada masyarakat:

(a)    melahirkan masyarakat Islam yang penyayang;
(b)   melahirkan masyarakat yang tolong menolong serta belas kasihan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

8.         Akibat tidak mengeluarkan zakat:

(a)    ibadat puasa yang dilakukan tidak mendapat kesempurnaan;
(b)   lahir individu yang bersifat bakhil dan tamak;
(c)    mendapat kemurkaan dan azab Allah SWT.

9 ulasan: