Pendidikan Islam: Tingkatan 2: Hadis
Tajuk 9 – Mencegah Kemungkaran Tanggungjawab Bersama
عن أبي سعيد الخدري رضى الله عنه قا ل : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فاءن لم يستطع فبلسانه فاءن لم يستطع فبقلبه وذلك اضعف الايمان. رواه مسلم .
Maksudnya: Daripada Abu Said Al-Khudri r.a, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hati dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman.
1. Kemungkaran bermaksud setiap perbuatan yang diharamkan oleh syariat Islam sama ada kesalahan kepada Allah SWT, manusia atau alam sekitar.
2. Cara-cara mencegah kemungkaran berdasarkan hadis di atas ialah:
(a) mencegah dengan tangan, iaitu mengubah dengan bidang kuasa yang ada seperti bapa bertanggungjawab terhadap anaknya;
(b) mencegah dengan lidah, iaitu sekiranya seseorang itu tidak mampu mencegah kemungkaran dengan tangannya, maka dia hendaklah mencegah dengan lisan, iaitu dengan memberi nasihat dan bimbingan;
(c) mengubah dengan hati, iaitu membenci kemungkaran yang berlaku. Cara ini merupakan selemah-lemah iman.
3. Kesan tidak mengikut prinsip dakwah yang betul:
(a) dakwah Islam tidak akan berjaya;
(b) maruah umat Islam akan tercemar.
4. Hikmat mencegah kemungkaran:
(a) melahirkan individu yang berakhlak cemerlang dalam kehidupan;
(b) melahirkan masyarakat yang bersatu padu prihatin dan bertanggungjawab.
5. Pengajaran hadis:
(a) mencegah kemungkaran adalah kewajipan setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing;
(b) mencegah kemungkaran akan menjamin kehidupan yang sejahtera.
Tajuk: 10 – Sedekah Pemangkin Kesejahteraan
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كل سلامى من الناس عليه صدقة كل يوم تطلع فيه الشمس تعدل بين الاثنين صدقة وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها أو ترفع له عليها متاعه صدقة والكلمة الطيبة صدقة وبكل خطوة تمشيها الى الصلاة صدقة وتميط الأذى عن الطريق صدقة. رواه البخاري ومسـلم.
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: setiap sendi tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.
1. Sedekah ialah memberi sesuatu yang bernilai kepada seseorang.
2. Antara amalan sedekah yang terdapat dalam hadis:
(a) melakukan keadilan antara dua orang yang berselisih faham;
(b) membantu orang menaiki kenderaan atau mengangkat barang untuknya;
(c) mengucapkan perkataan yang baik;
(d) membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan seperti membuang duri atau ranting kayu yang menghalang perjalanan.
3. Adab-adab bersedekah:
(a) memberikan sesuatu dengan ikhlas, iaitu tanpa mengharapkan balasan;
(b) sesuatu barang yang disedekahkan itu adalah dari sumber yang halal;
(c) tidak mengungkit sedekah yang diberikan kepada seseorang.
4. Kesan amalan sedekah kepada pemberi sedekah:
(a) menjadi seorang yang pemurah;
(b) membersihkan diri daripada sifat kedekut dan bakhil.
5. Kesan amalan sedekah kepada penerima sedekah:
(a) dapat menikmati nikmat pemberian Allah SWT;
(b) memberi semangat untuk mempertingkatkan taraf hidup;
(c) memberi motivasi untuk berdikari dan berusaha mempertingkatkan taraf hidup.
6. Hikmat sedekah terhadap individu:
(a) mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT;
(b) dihormati dan dikasihi oleh manusia;
(c) jasanya akan dikenang.
7. Hikmat sedekah terhadap masyarakat:
(a) melahirkan masyarakat yang prihatin dan penyayang;
(b) meringankan beban masyarakat yang ditimpa musibah seperti mangsa banjir.
8. Pengajaran hadis:
(a) sedekah merupakan ibadat yang digalakkan dalam Islam;
(b) setiap amalan yang memberi manfaat kepada orang lain dikira sebagai sedekah jika dilakukan dengan ikhlas.
pendidikan islam dan sejarah ini betul2 membantu saya menyiapkan kerja rumah yang ustaz bagi....saya sangat suka dengan pendidikan islam
BalasPadamSaya dh nk spm ni kul 2
BalasPadamgoodluck
Padamnjy
BalasPadam