Isnin, 14 Februari 2011

Akidah T2

Pendidikan Islam
Tingkatan 2                                                                                                     Akidah

Tajuk 11 – Beriman Kepada Al Asmaul Husna

1.         Al Asmaul Husna bermaksud nama-nama Allah SWT yang indah.

2.         Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Allah SWT mempunyai 99 nama yang indah.

3.         Sebab-sebab wajib beriman dengan Al Asmaul Husna:

(a)    meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT;
(b)   mendekatkan diri kepada Allah SWT;
(c)    memudahkan seseorang memohon sesuatu kepada Allah SWT dengan menyebut nama-nama Nya yang sesuai dengan permohonan.

4.         Kesan beriman dengan Al Asmaul Husna:

(a)    membudayakan sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT dalam kehidupan;
(b)   insaf dengan kelemahan dan kekurangan diri;
(c)    lahir individu yang rajin, tekun dan beramal soleh.

11.1 – Al Wahid: Allah SWT Maha Esa

1.         Allah SWT bersifat Al Wahid yang bermaksud Maha Esa.

2.         Maha Esa Allah SWT meliputi pada zat, sifat dan perbuatan (af’al).

3.         Maha Esa Allah SWT pada zat bermaksud Allah SWT memerintah dan mentadbir             alam ini secara bersendirian tanpa bantuan sesiapa.

4.         Maha Esa Allah SWT pada sifat bermaksud Allah SWT  bersifat dengan sifat-       sifat kesempurnaan yang berbeza dengan sifat makhluk yang bersifat lemah.

5.         Maha Esa Allah SWT pada perbuatan pula bermaksud perbuatan Allah SWT          tidak menyerupai perbuatan makhluk.

6.         Kesan beriman dengan sifat Al Wahid pada akidah:

(a)    bebas daripada amalan syirik dan khurafat;
(b)   reda dengan ketentuan Allah SWT;
(c)    yakin dengan pembalasan Allah SWT di akhirat.




7.         Kesan beriman dengan sifat Al Wahid terhadap ibadat:

(a)    melakukan perintah Allah SWT dengan ikhlas;
(b)   melakukan pekerjaan hanya untuk mendapat keredaan Allah SWT.

8.         Kesan beriman dengan sifat Al Wahid terhadap akhlak:

(a)    sentiasa berdisiplin dalam kehidupan;
(b)   sentiasa menghormati keluarga dan masyarakat.

9.         Ciri-ciri amalan yang berlawanan dengan sifat Al Wahid:

(a)    melakukan sesuatu ibadat bukan kerana Allah SWT;
(b)   melakukan perkara syirik kepada Allah SWT;
(c)    melaksanakan undang-undang dan peraturan yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

11.2 – Ar Rahman: Allah SWT Maha Pemurah

1.         Allah SWT bersifat Ar Rahman yang bermaksud Allah SWT Maha Pemurah.

2.         Bukti-bukti Allah SWT bersifat Ar Rahman:

(a)    kurniaan rezeki yang melimpah ruah kepada semua makhluk;
(b)   tubuh badan yang sihat dalam menjalani kehidupan.

3.         Kesan beriman dengan Ar Rahman:

(a)    lahir individu yang bersifat pemurah kepada orang lain;
(b)   sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kurniaan Nya;
(c)    sentiasa merendah diri walaupun memiliki kekayaan kerana yakin semuanya adalah kurniaan Allah SWT.

4.         Perbezaan antara pemurah Allah SWT dengan pemurah manusia:

(a)    sifat pemurah Allah SWT:

·         tidak terbatas kerana kekayaan Allah SWT adalah mutlak;
·         memberi sesuatu tanpa mendapat manfaat, tetapi untuk menguji keimanan manusia.

(b)   sifat pemurah manusia:

·         terbatas kerana manusia tidak memiliki kekayaan yang mutlak;
·         memberikan sesuatu untuk mendapatkan manfaat atau ganjaran.

5.         Ciri-ciri amalan yang berlawanan dengan sifat Ar Rahman:

(a)    kedekut atau bakhil kepada orang miskin;
(b)   bersifat kejam terhadap makhluk Allah SWT;
(c)    percaya kekayaan adalah hasil usaha diri sendiri, bukannya daripada Allah SWT.

11.3 – Ar Rahim: Allah SWT Maha Penyayang

1.         Allah SWT bersifat Ar Rahim yang bermaksud Maha Penyayang.

2.         Tanda-tanda Allah SWT bersifat Ar Rahim:

(a)    Allah SWT mengurniakan akal fikiran kepada manusia;
(b)   Allah SWT menganugerahkan kepada manusia tubuh badan yang sihat supaya dapat beribadat dengan sempurna;
(c)    Allah SWT memberi rezeki kepada manusia daripada makanan dan minuman yang pelbagai jenis untuk menjalani kehidupan yang selesa.

3.         Kesan beriman dengan sifat Ar Rahim:

(a)    bersyukur kepada Allah SWT dengan bertasbih, bertahmid dan takbir atas nikmat yang dikurniakan;
(b)   menggunakan nikmat Allah SWT pada jalan kebaikan;
(c)    mempertingkatkan ibadat dan amal kebajikan kepada Allah SWT.

4.         Ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan sifat Ar Rahim:

(a)    bersifat bakhil kepada orang miskin;
(b)   suka bergaduh dan bersifat bengis terhadap orang lain;
(c)    menganiaya binatang dan merosakkan tumbuh-tumbuhan.

5.         Perbezaan antara sifat Ar Rahman dengan Ar Rahim:

(a)    sifat Ar Rahman:

·         untuk semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam;
·         untuk nikmat di dunia saja seperti kesihatan, pangkat, harta kekayaan dan sebagainya.

(b)   sifat Ar Rahim:

·         khusus untuk orang yang beriman saja;
·         untuk nikmat di dunia dan di akhirat seperti nikmat Islam, iman, pahala, syurga dan sebagainya.

11.4 – Al Hakim: Allah SWT Maha Bijaksana

1.         Allah SWT bersifat Al Hakim yang bermaksud Allah SWT Maha Bijaksana.

2.         Tanda-tanda Allah SWT bersifat Al Hakim:

(a)    cap jari manusia yang berlainan antara individu dengan individu yang lain;
(b)   kejadian tanam-tanaman yang beraneka jenis dan rasa;
(c)    kejadian binatang yang pelbagai bentuk dan rupa.

3.         Kesan beriman pada Al Hakim:

(a)    bersyukur dengan kejadian Allah SWT yang sempurna;
(b)   bijak menguruskan sesuatu kerja yang diamanahkan;
(c)    menggunakan akal fikiran untuk kemajuan diri, masyarakat dan negara.

4.         Ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan konsep Al Hakim:

(a)    menggunakan akal untuk melakukan perkara maksiat dan kejahatan;
(b)   tidak berusaha untuk membuat perubahan kea rah kemajuan diri;
(c)    banyak berkhayal dan berangan-angan daripada berusaha.

11.5 – Al Alim: Allah SWT Maha Mengetahui

1.         Allah SWT bersifat Al Alim yang bermaksud Maham Mengetahui.

2.         Perbezaan antara ilmu Allah SWT dengan ilmu manusia:

(a)    Ilmu Allah SWT:

·         ilmu Allah SWT meliputi semua perkara sama ada di langit atau di bumi;
·         Allah SWT mengetahui perkara yang nyata dan perkara yang ghaib;

(b)   ilmu manusia:

·         ilmu manusia adalah terbatas, iaitu mereka mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling mereka saja;
·         manusia hanya mengetahui perkara yang nyata saja serta tidak mampu menjangkau perkara yang ghaib seperti alam barzakh.

3.         Kesan beriman pada sifat Al Alim:

(a)    melahirkan individu yang amanah dan jujur dalam melakukan sesuatu perkara;
(b)   melahirkan ilmuan yang merendah diri kepada Allah SWT;
(c)    melahirkan individu yang berusaha menimba ilmu sebanyak mungkin untuk menjadi mukmin yang berjaya di dunia dan di akhirat.

4.         Amalan yang bertentangan dengan sifat Al Alim:

(a)    tidak berminat untuk belajar;
(b)   bersifat sombong dan takbur apabila memiliki ilmu:
(c)    memandang ringan terhadap dosa yang dilakukan;
(d)   tidak suka memberi sumbangan ilmu yang dimiliki kepada orang lain.

11.6 – Al Adl: Allah SWT Maha Adil

1.         Allah SWT bersifat Al Adl yang bermaksud Maha Adil.

2.         Tanda-tanda Allah SWT bersifat Al Adl:

(a)    kejadian manusia yang memiliki tubuh badan yang sempurna serta akal fikiran yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil;
(b)   Allah SWT memberi rezeki kepada seseorang berdasarkan usaha;
(c)    Allah SWT menghisab semua amalan yang dilakukan oleh manusia di dunia.

3.         Ciri-ciri orang yang adil:

(a)    menggunakan nikmat pancaindera dengan cara yang terbaik;
(b)   membuat sesuatu keputusan dengan menyiasat dan mendengar keterangan terlebih dahulu;
(c)    memberi hak orang lain tanpa memilih kedudukan atau pangkat.

4.         Kesan melaksanakan keadilan:

(a)    mendapat keberkatan dan rahmat Allah SWT dalam hidup;
(b)   perpaduan dan semangat kerjasama dapat diwujudkan dalam masyarakat;
(c)    lahir pakar-pakar yang berdaya saing dalam pelbagai bidang kemahiran.

5.         Akibat tidak berlaku adil:

(a)    mendapat kemurkaan Allah SWT serta jauh daripada rahmat Nya;
(b)   berlaku perpecahan dan persengketaan di kalangan masyarakat;
(c)    keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama akan terhakis.

Tajuk: 12 – Kesan Beriman Kepada Allah SWT

1.         Tauhid ialah mengesakan Allah SWT iaitu tidak meyamakan Allah SWT dengan    makhluk Nya sama ada dari segi zat, sifat dan perbuatan Nya.

2.         Tauhid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah             dan tauhid Asma’ Wassifa.

3.         Tauhid Rububiyyah bermaksud yakin dan percaya bahawa hanya Allah SWT saja yang mencipta, mentadbir, memiliki, memelihara dan memerintah seluruh alam.

4.         Tauhid Uluhiyyah bermaksud meyakini bahawa hanya Allah SWT saja yang           berhak disembah, dipatuhi, diminta pertolongan, digeruni dan dicintai.

5.         Tauhid Asma’ Wasifat pula bermaksud yakin dan percaya bahawa Allah SWT       saja yang memiliki nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna serta            mensucikan Allah SWT daripada segala sifat yang boleh menyerupai makhluk.

6.         Kesan beriman dengan tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah:

(a)    kesan terhadap individu:

·         melakukan amal ibadat dan kebajikan untuk mendapat kebahgiaan hidup di dunia dan di akhirat;
·         mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

(b)   kesan terhadap masyarakat:

·         bebas daripada perkara maksiat;
·         jauh daripada perkara khurafat dan tahyul.

(c)    kesan terhadap negara:

·         negara berada dalam keadaan aman dan makmur;
·         negara dihormati dan disegani oleh negara-negara luar.

Tajuk: 13 – Beriman Kepada Malaikat

13.1 – Keunikan Malaikat

1.         Beriman kepada malaikat bermaksud percaya bahawa Allah SWT telah mencipta   sejenis makhluk daripada cahaya yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan sentiasa           taat dan patuh pada perintah Allah SWT.

2.         Keistimewaan malaikat:

(a)    dicipta daripada cahaya;
(b)   makhluk yang bersayap;
(c)    boleh menjelma dengan rupa lelaki;
(d)   sentiasa beribadat kepada Allah SWT.

3.         Sifat-sifat malaikat:

(a)    tidak mempunyai jantina;
(b)   tidak berkahwin;
(c)    tidak makan, minum dan tidur;
(d)   tidak dapat dilihat oleh makhluk.

4.         Kesan beriman kepada malaikat terhadap individu:

(a)    berhati-hati dalam setiap tindakan;
(b)   mematuhi arahan yang tidak bercanggah dengan syariat.

5.         Kesan beriman kepada malaikat terhadap masyarakat:

(a)    berwaspada dalam melakukan sesuatu tindakan;
(b)   tekun melakukan sesuatu kerja yang diamanahkan.

6.         Kesan beriman kepada malaikat terhadap negara:

(a)    jabatan kerajaan berjalan dengan baik dan teratur;
(b)   negara akan berkembang maju;
(c)    organisasi kerajaan akan lebih telus dan berdisiplin.

13.2 – Tugas-Tugas Malaikat

1.         Nama dan tugas malaikat yang wajib diketahui:

(a)    Jibrail – menyampaikan wahyu kepada nabi dan rasul;
(b)   Mikail – menurunkan hujan dan mengatur pembahagian rezeki;
(c)    Israfil – meniup sangkakala pada hari kiamat;
(d)   Izrail – mengambil nyawa makhluk;
(e)    Munkar – menyoal orang mati dalam kubur;
(f)    Nakir – menyoal orang mati dalam kubur;
(g)   Ridhuan – menjaga pintu syurga;
(h)   Malik – menjaga pintu neraka;
(i)     Rakib – mencatat amalan baik setiap manusia;
(j)     Atid – mencatat amalan buruk manusia.

2.         Tugas umum malaikat:

(a)    mendoakan orang mukmin yang beribadat;
(b)   menyelenggara proses kejadian manusia dalam rahim ibu;
(c)    membantu tentera Islam menentang musuh.



3.         Perbezaan tugas antara malaikat dengan manusia:

(a)    tugas malaikat:

·         melaksanakan tugas tanpa ganjaran pahala;
·         sentiasa melakukan ibadat kepada Allah SWT dan tidak diperintahkan untuk memakmurkan kehidupan dunia.

(b)   tugas manusia:

·         melaksanakan tugas dan mendapat ganjaran pahala;
·         di samping melakukan ibadat kepada Allah SWT, manusia diwajibkan memakmurkan dunia.

13.3 – Kesan Beriman Kepada Malaikat

1.         Kesan beriman kepada malaikat dari aspek perkataan, perbuatan, hati dan   pemikiran seseorang:

(a)    aspek perkataan:

·         bercakap sesuatu perkara yang baik;
·         berzikir, bertasbih dan membaca al Quran;
·         mengajak orang lain melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

(b)   aspek perbuatan:

·         sentiasa taat dan patuh pada perintah Allah SWT;
·         hormat dan patuh pada ibu bapa, guru dan pemimpin;
·         istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.

(c)    aspek hati:

·         ikhlas dalam beribadat kepada Allah SWT;
·         teguh hati dalam menghadapi ujian dan cabaran hidup;
·         takut dan malu apabila hendak melakukan maksiat.

(d)   aspek pemikiran:

·         berfikiran jauh dalam sesuatu perkara;
·         berfikir supaya menjadi manusia yang terbaik dan mulia seperti malaikat;
·         bijak dalam membuat keputusan.

Tajuk: 14 – Beriman Dengan Kitab-Kitab Suci

1.         Kitab suci ialah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi dan rasul      melalui perantaraan malaikat Jibrail.

2.         Empat buah kitab yang wajib diketahui:

(a)    Zabur – Nabi Daud;
(b)   Taurat – Nabi Musa;
(c)    Injil – Nabi Isa;
(d)   Al Quran – Nabi Muhammad.

3.         Suhuf ialah wahyu Allah SWT yang diwahyukan kepada nabi dan rasul yang         mengandungi hukum-hukum dasar yang berbentuk lembaran-lembaran saja.

4.         Hikmat al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-         ansur:

(a)    memudahkan Rasulullah SAW menyampaikan ajaran al Quran kerana ia diturunkan bertepatan dengan peristiwa yang berlaku;
(b)   supaya umat Islam mudah memahami dan mengamalkan ajaran al Quran.

5.         Antara kandungan al Quran ialah:

(a)    akidah, contohnya beriman kepada Allah SWT;
(b)   ibadat, contohnya menunaikan solat;
(c)    akhlak, contohnya berbuat baik kepada orang tua;
(d)   muamalat, contohnya jual beli.

6.         Tujuan al Quran diturunkan:

(a)    menjadi mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasulullah SAW;
(b)   menjadi petunjuk dan panduan kepada manusia dalam semua urusan kehidupan.

7.         Kesan beriman dengan al Quran:

(a)    memperoleh hidayat Allah SWT;
(b)   mendapat rahmat dan keberkatan dalam hidup;
(c)    jiwa dan perasaan sentiasa tenang.

8.         Mukjizat al Quran:

(a)    kandungan al Quran terjamin keasliannya sepanjang masa tanpa berlaku sebarang perubahan;
(b)   kehebatannya tidak dapat ditandingi dan tiada seorang pun yang dapat membuat kitab lain seperti al Quran;
(c)    bahasanya sangat indah dan tinggi nilainya yang menjadi rujukan pakar bahasa.

8 ulasan: